UMNO 77 Tahun Di Persada Politik, Tetap Teruskan Perjuangan – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata dalam kongres itu Perlembagaan UMNO telah dibentangkan dan diterima serta diluluskan oleh para peserta kongres, maka, UMNO pun lahirlah secara rasmi.

“11 Mei 2023, UMNO berusia 77 tahun. Sepanjang usianya, UMNO melalui pelbagai cabaran dalam memikul amanah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Pada Mei 2018, parti ini tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ramai yang telah mentalkinkan, bersorak-sorak dari musuh-musuh parti keramat ini mengatakan ‘UMNO telah mati’.

“Dalam pada kekalahan itu, UMNO meraikan ulang tahunnya yang ke-74 dan menjadi sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta membentuk kerjasama politik Muafakat Nasional dengan seteru politik tradisinya PAS pada 2019.

“Itu roda kehidupan dan jatuh bangun dalam perjuangan. Benar… yang tinggal kini adalah pemimpin-pemimpin UMNO yang sejati yang masih sayangkan UMNO serta masih berpegang kepada tradisinya membela rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Kata Hasmuni lagi, pada pilihan raya lalu UMNO sekali lagi dikatakan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan parti ini turut menjadi pendukung Kerajaan Perpaduan bersama-sama Pakatan Harapan (PH), maka, hayat UMNO dalam perjalanan politiknya itu benar-benar rahsia Tuhan.

“Pada saya, UMNO perlu melakarkan semula iltizamnya. Allah menguji UMNO dengan kemenangan dan kekalahan. Pengalaman itu sangat berharga dan mematangkan. Sudah pasti sebagai manusia, kita tidak lepas daripada kesilapan dan kekurangan. Yang penting kita tidak mengulangi kesilapan dan memperbaiki segera segala kekurangan.

“Marilah kita syukuri segala rencana dan perancangan Allah kepada UMNO dengan menjadikan lebih baik, beramanah dan berwibawa.

“UMNO adalah belahan jiwa yang perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baik penjagaan. Ini adalah amanah daripada pendiri bangsa dan generasi penerus. Kita hanya menjadi perantara yang mendukung amanah itu,” ujarnya.

Seterusnya kata beliau, UMNO dianggap parti keramat kerana menjadi instrumen kemerdekaan, wadah pembangunan dan ikon kemajuan negara.

“Dalam darah setiap pejuang politik negara, ada darah UMNO. Sepanjang usianya parti ini melakar dan mencorakkan dengan penuh warna-warni akan keindahan, kemakmuran, keharmonian dan kesaksamaan kepada setiap rakyat dalam negara kita.

“Sejarahnya yang panjang, UMNO memberi partisipasi dan kontribusi dalam memajukan negara Malaysia tercinta ini. Sepanjang 77 tahun ianya telah menjadi kekuatan politik yang signifikan dan berperanan dalam banyak peristiwa penting dalam sejarah politik Malaysia.

“Benar, semua itu adalah sejarah dan tidak hanya boleh berbangga dengan sejarah tanpa mengorak langkah dan mencorakkan masa depan. Selamat Hari Ulang Tahun UMNO Ke-77,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.