Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Titik Permulaan Kerjasama Lebih Positif

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan merupakan sebuah titik permulaan kerjasama lebih positif kepada parti-parti politik terutamanya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, konvensyen ini sudah semestinya mampu untuk membina kebersamaan dan semangat melalui kerjasama politik yang wujud.

“Pastinya perkara pertama yang perlu kita persetujui bersama ialah bagaimana semangat ataupun kerjasama politik dapat kita bina (melalui konvensyen ini). Ianya tidak mudah.

“Muafakat Nasional (MN) dahulu pun mengambil masa yang panjang. Jadi jangan kata kita bermusuh politik dengan Dap dan PKR agak lama. Malahan dengan Pas pun lebih lama daripada itu.

“PKR hanya wujud lebih kurang 20 tahun lalu, manakala Pas dah lebih 50 tahun kita bertentangan dengan mereka. Selepas tahun 72 terwujudnya Barisan Nasional (BN), berperanglah sehingga ke hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara BN-PH memerlukan masa dan kesungguhan daripada kedua-dua pihak bagi mengelakkan ketidakstabilan politik yang berpanjangan.

We need time. Mesti ada kesungguhan di kedua-dua belah pihak baik BN dan PH. Apa yang penting kita lakukan semua ini bersama untuk negara tercinta.

“Apa yang kita buat ini adalah untuk menyelamatkan negara daripada ketidakstabilan politik yang berpanjangan. Kalau dibiarkan, maka hancurlah negara ini.

“Jadi, sebab itu konvensyen pada 14 Mei ini penting bagi memperlihatkan bagaimana satu jalinan kerjasama politik dapat kita perkukuhkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain turut beranggapan bahawa segala kerjasama BN-PH masih berada di peringkat awal namun masih berjalan dengan baik terutamanya di Selangor.

“Mungkin Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku dalam masa yang terdekat tetapi ada pelbagai andaian timbul. Mungkin terlalu awal, belum ada lagi satu kerjasama yang kuat tetapi it takes time. Ianya berjalan dengan baik.

“Jadi saya fikir, konvensyen ini penting kerana ianya merupakan satu titik permulaan yang sangat positif,” katanya lagi.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan diadakan pada 14 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dilihat boleh meningkatkan keserasian di semua peringkat parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.