Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Berlangsung Dengan Jayanya, Keserasian Jelas Terpancar

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan kelancaran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung dengan jayanya.

Jelas beliau, konvensyen yang julung kalinya diadakan itu simbolik kepada
keserasian yang jelas terpancar apabila semuanya berada di bawah satu bumbung.

“Ahad 14 Mei satu lagi sejarah tercatat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur apabila Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 berjaya dilangsungkan dengan jayanya.

“Banyak sejarah yang tercatat apabila ada dalam kalangan pemimpin dan ahli daripada 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini belum pernah menjejakkan kaki di sini, namun sama-sama berhimpun dalam satu konvensyen yang julung kali diadakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid menambah lebih bermakna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Merdeka dan menyampaikan Amanat Perdana selepas 25 tahun tidak menjejakkan kaki ke sini.

Sementara itu, mengangkat apa yang disampaikan dalam amanat Perdana Menteri, beliau mengajak ahli parti untuk sederap dan terus mempertahankan amanah rakyat dan perpaduan kaum di negara ini.

“Perpaduan ini harus terus dipertahankan malah diperkukuhkan berteraskan MADANI untuk mengangkat Agenda Rakyat dan menggembalikan Malaysia untuk kembali menjadi gergasi ekonomi baharu di Asia Tenggara.

“Buat ke sekalian kalinya, saya menzahirkan komitmen bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan ini.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia kerana berjaya menganjurkan konvensyen ini,” ujar Pengerusi BN itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.