Dr Zambry Gariskan Lima Langkah Kukuhkan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengajak semua parti yang membentuk kerajaan hari ini mencari titik persamaan dan bukannya perbezaan antara satu sama lain dalam usaha mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Berucap mewakili BN pada sesi Bicara Rakyat dalam segmen Malaysia Madani semalam, beliau berkata itu adalah antara lima jalan yang boleh mengukuhkan lagi kesepaduan selain beberapa faktor lain.

“Pertamanya cari titik persamaan bukannya perbezaan. Kalau di sini kita menggunakan pentas untuk mencari titik-titik perbezaan, maka kita tidak akan dapat titik persamaan.

“Keduanya kolaborasi bukannya konfrontasi… masa untuk kita berkolaborasi antara satu dengan yang lain dan seterusnya ehsan dan bukan kebencian. Jangan kita tanamkan lagi kebencian di hati kita,” katanya.

Program Bicara Rakyat antara pengisian pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung dengan jayanya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Meneruskan ucapannya beliau turut menyatakan masing-masing perlu faham soal perkongsian kuasa dan kelimanya adalah soal hikmah.

“Sebuah negara memerlukan kestabilan dan keamanan. Hari ini kita menyaksikan pertemuan semua parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan bergabung di dalam sebuah kerajaan perpaduan Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zambry seterusnya berpandangan Malaysia Madani bukanlah satu retorik.

“Tetapi ianya merupakan pembentukan negara yang membawa kesemua rakyat kerana kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Kita melihat peristiwa yang berlaku dalam negara kita dan intipati kepada semuanya sepertimana yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman, sepertimana yang diungkapkan Tun Abdul Razak dan hari ini yang akan diungkapkan oleh Perdana Menteri iaitu negara kita memerlukan keamanan dan kestabilan untuk mara ke depan.

“Jadi marilah atas semangat kebersamaan ini kita membentuk masa depan kita bersama,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.