UMNO Perlis Ikrar Kembalikan Kegemilangan – Rozabil

ARAU, 13 Mei – UMNO Perlis bertekad untuk mengembalikan semula kegemilangan parti berkenaan di negeri tersebut menerusi pelbagai perancangan serta pelaksanaan dalam usaha memastikan politik khidmat bakti yang amat sinonim dengan parti itu terus menjadi naungan kepada rakyat negeri tersebut.

Berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Perlis semalam, Pengerusinya Datuk Rozabil Abdul Rahman yakin hakikat tersebut dapat dilaksanakan dengan kombinasi serta gabungan erat seluruh kepimpinan bahagian serta pelbagai peringkat yang lain.

Menurut beliau kebersamaan pimpinan parti dapat dilihat dengan jelas khususnya menerusi pelbagai pelaksanaan serta program santuni rakyat sepertimana program sambutan Aidilfitri UMNO Perlis semalam.

“Pemilihan UMNO telah berlalu dan peralihan generasi terutama dalam UMNO Perlis yang  mana muka baharu menerajui ketua bahagian dan kebersamaan serta kesepaduan di Perlis begitu utuh.

“Prgram santuni rakyat sepertimana program hari ini adalah bukti kesepaduan dan cerminan UMNO Perlis. Namun apa pun pendekatan ini perlu diterjemahkan menerusi pendekatan strategik dan inklusif lain.”

Katanya, kemakmuran dan kesejahtetaan rakyat adalah keutamaan dan politik khidmat bakti sinonim dengan UMNO Perlis malah ini bukan kerja baharu tetapi sejak sekian lama.

“Sebagai generasi baharu yang diwarisi kepimpinan terdahulu, kita percaya dan optimis era baharu UMNO Perlis dan akan berusaha menjadi tiga bahagian dan bukannya ‘30 bahagian’ sepertimana yang diwar-warkan,” katanya.

Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Perlis berlangsung di Dewan Sivik Arau yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Fathul Bari Mat Jahaya serta seluruh kepimpinan UMNO dan BN dan rakan-rakan baharu parti di dalam kerajaan perpaduan.

Rozabil seterusnya menambah pihaknya tidak akan mengabaikan kepentingan rakyat di negeri tersebut sebaliknya akan terus menjadi keutamaan.

“Insya-Allah… UMNO Perlis tidak abaikan kebajikan rakyat sebaliknya kita akan rencana pelbagai program dan pelaksanaan yang utama untuk rakyat demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

“Kita telah telah bincang pelbagai pendekatan untuk dekati setiap segmen di Perlis ini dan seluruh pimpinan perlu bergerak sederap demi jayakan matlamat yang direncana,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.