Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Persiapan Lancar, Bakal Dihadiri 10,000 Delegasi

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan diadakan esok di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bakal dihadiri oleh lebih 10,000 orang delegasi daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya, konvensyen yang julung-julung kalinya diadakan ini akan bermula seawal jam 10.00 pagi dengan Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan, diakhiri dengan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di sebelah petang.

“Alhamdulilah, hari ini kita buat persiapan yang terakhir untuk menyambut kedatangan delegasi ataupun peserta Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Ini merupakan konvensyen yang julung-julung kalinya diadakan, menghimpunkan 19 buah parti dan kepimpinan daripada peringkat nasional sehinggalah ke peringkat negeri yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kita menjangkakan esok secara keseluruhannya lebih daripada 10,000 delegasi akan hadir. Konvensyen ini akan bermula seawal jam 10.00 pagi dengan Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan. Kemuncaknya adalah Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui sejurus selepas raptai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di WTC, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO itu turut memaklumkan bahawa persiapan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan ini telah mencapai 95 peratus.

“Saya boleh katakan persiapan telah mencapai 95 peratus. Maknanya, kita di peringkat akhir dan final touch sahaja. Kalau kita lihat, semua wakil parti telah mereka memberikan komitmen yang cukup tinggi bukan sahaja pada hari terakhir tetapi juga selama dua minggu ini.

“Kita bermesyuarat hampir setiap hari di peringkat jawatankuasa pelaksana. Menariknya, gerak kerja bersama di kalangan kepimpinan tertinggi dan juga jawatankuasa dari peringkat parti-parti politik Kerajaan Perpaduan ini sudah dimulakan sejak daripada awal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar konvensyen ini akan menjadi titik permulaan dan pencetus kepada kerjasama yang lebih erat antara parti Kerajaan Perpaduan.

“Kita harapkan selepas konvensyen ini, ianya merupakan titik permulaan dan pencetus kepada suatu gerakan yang lebih tuntas dan menyeluruh di peringkat negeri-negeri sehinggalah ke peringkat parlimen dan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Insya-Allah dengan komitmen dan iltizam yang bakal dipatrikan lagi sebagai sebuah tekad daripada kepimpinan parti dan juga disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia dan didukung oleh kepimpinan yang ada pada hari esok.

“Mudah-mudahan ia akan memberi satu natijah yang positif dan konstruktif untuk negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.