Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia Berlangsung Esok, Tumpuan Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada esok bakal mencatatkan sejarah baharu apabila buat julung kalinya akan diadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Ianya bakal menjadi tumpuan seluruh negara kerana akan menghimpunkan parti-parti di bawah kerjasama Kerajaan Perpaduan.

Bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ ianya bermula seawal jam 10.00 pagi dengan Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Pemuda Puteri.

Konvensyen Nasional Wanita diadakan di Dewan Merdeka manakala Konvensyen Pemuda Puteri di Dewan Tun Hussein Onn.

Usai keduanya, tiga sub-sesi dialog dinamakan Bicara Rakyat juga diadakan pada jam 2 petang membabitkan tiga diskuasi yang bakal membicarakan berkenaan isu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani.

Seterusnya pengerusi parti-parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tempat untuk berucap yang bermula jam 3 petang di Dewan Merdeka.

Kemuncak konvensyen, Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat beliau berkenaan hala tuju kerajaan ke arah manfaat kepada rakyat dan negara.

Untuk rekod, konvensyen berskala besar ini diadakan buat julung-julung kalinya selepas enam bulan kerajaan ditubuhkan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.