UMNO Ke-77: Seia Sekata Dengan Kepimpinan Bina Kekuatan Parti – Sollehin

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie mengharapkan dalam tempoh lima tahun akan datang kepimpinan UMNO yang ada pada kali ini mampu seia sekata dan tidak ada lagi yang tidak menghormati kepimpinan parti.

Inilah gambaran jelas betapa beban tugas yang cukup mencabar bagi Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mengharungi pelbagai ujian mendatang.

“Jangan letak semua bebanan pada Presiden parti, sekiranya semua bebanan diletakkan pada beliau bermakna UMNO tidak akan bergerak. Semua ahli harus sama-sama bertanggungjawab dan ianya satu amanah pada semua.

“Sekiranya nak bangunkan parti ini jangan salah-menyalah antara satu sama lain tetapi bermuhasabah diri dan masing-masing buat kerja untuk mengangkat balik wadah perjuangan parti ini.

“UMNO kena pastikan ahlinya dan kepimpinan mempunyai disiplin yang baik terhadap parti, tak boleh lagi ada orang tikam belakang dan musuh dalam selimut. Kalau perkara itu ada sudah pasti ramai ‘tentera UMNO’ akan dibunuh dan menyebabkan parti ini kalah pada pilihan raya lalu kerana diserang oleh orang kita sendiri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menjelaskan selepas pasca pemilihan UMNO baru-baru ini ramai pemimpin UMNO diketengahkan dan ini menunjukkan parti ini masih bersifat terbuka.

“Banyak kepimpinan baharu yang muncul dalam parti tidak kira sama ada di peringkat bahagian mahupun kepimpinan tertinggi. Ini menunjukkan UMNO lebih bersifat terbuka dan gunakan peluang itu sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Seterusnya kata Sollehin lagi, akar umbi parti harus lebih aktif di media sosial agar persepsi masyarakat terhadap UMNO dapat dihakis.

“Kita kena bina persepsi naratif baharu dan harus fokus perang di media sosial berbanding buang masa dengan ‘Polling Agent, Counting Agent dan Barung Agent’ (PACABA) dan sebagainya yang sebenarnya tidak mengubah persepsi orang pada parti.

“Saya doakan agar UMNO dilihat kembali lebih segar dengan idealisme dan naratif baharu, tidak boleh kembali dengan cara lama. Sekiranya pilih cara lama sudah pasti tidak akan mampu bergerak ke depan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.