Tak Abai Kebajikan Rakyat Di Kawasan Pembangkang – Wan Rosdy

KUANTAN, 12 Mei – Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan kerajaan Pahang tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan dan tetap menyalurkan bantuan kepada semua lapisan rakyat termasuk di kawasan pembangkang.

Beliau berkata walaupun peruntukan tidak disalurkan secara terus kepada wakil rakyat pembangkang, bantuan itu tetap sampai kepada rakyat sama ada menerusi Pejabat Menteri Besar, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pejabat Daerah.

“Kerajaan negeri akan tetap menyalurkan bantuan walaupun pengundi kawasan tersebut tidak memilih kami pada pilihan raya lepas. Ini tanggungjawab kami sebagai kerajaan. Kerajaan negeri akan sentiasa menyalurkan bantuan secara berterusan tanpa memilih bangsa, agama mahupun warna politik.

“Contohnya, bantuan persekolahan RM100 kepada semua murid tahun satu … kita beri pada semua tanpa bertanya kepada kanak-kanak itu tentang pilihan politik ibu bapanya,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy juga merujuk kepada Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Negeri Pahang bagi 2023, yang menyaksikan RM118.5 juta diperuntukkan di kawasan DUN pembangkang untuk pelbagai bentuk pembangunan menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri.

Kerajaan negeri juga menurut Wan Rosdy, sentiasa mempertimbang pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, dengan Pegawai Kewangan Negeri diminta membuat kajian dan tindakan susulan bagi kertas cadangan itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang.

Beliau juga memberi jaminan wakil rakyat pembangkang boleh bertemu dan berbincang dengan kerajaan negeri jika memerlukan bantuan, namun kaedah bantuan mungkin berbeza dan jika diberikan peruntukan, jumlahnya juga berbeza kerana “tidak pernah berlaku dalam sejarah, peruntukan pembangkang dan kerajaan sama”.

Isu peruntukan kepada pembangkang mula dibangkitkan pada persidangan DUN Pahang sejak hari kedua persidangan, dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada hari ini, sekali lagi mengingatkan Wan Rosdy bahawa sebagai wakil rakyat, beliau patut memahami permasalahan dihadapi pusat khidmat sehingga memerlukan peruntukan.

Berhubung isu air, Wan Rosdy mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk memastikan 90 peratus isu bekalan air di negeri ini dijangka diselesaikan pada 2026, namun mengharapkan “ruang dan peluang” diberikan kepada pihaknya dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk berbuat demikian.

Menyifatkan agenda air Pahang sebagai amat besar, Wan Rosdy berkata setakat ini, 217 projek penambahbaikan bekalan air dengan kos RM2.3 bilion yang dimaklumkan pada persidangan lepas, kekal dalam perancangan rapi dengan 82 projek daripadanya telah siap dilaksanakan setakat April lepas melibatkan peruntukan kos RM47 juta.

Selain itu, 37 projek dalam pembinaan membabitkan kos RM299.9 juta manakala 98 projek lagi dalam peringkat prapembinaan iaitu perancangan reka bentuk, kelulusan atau urusan pelantikan kontraktor melibatkan kos RM1,996.6 juta.

Projek berkenaan dirancang bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri ini antaranya paip pecah, tekanan rendah, putus bekalan, kualiti air mentah yang merosot dan penukaran jajaran paip lama, katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata masalah berkaitan bekalan air berlaku bukan sahaja di Pahang, malah ia juga berlaku di semua negeri di seluruh negara bahkan ada negeri yang tahap perkhidmatan airnya lebih teruk daripada negeri ini.

“Isu utama ialah kadar tarif yang rendah, kali terakhir kajian tarif bekalan air domestik dilakukan bagi Pahang adalah pada 1983 dan tarif air domestik kita yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang. Kerajaan negeri terus bertahan dengan kadar tarif ini kerana ambil kira bebanan terhadap rakyat,” katanya.

Tambah beliau, aduan berkenaan kualiti air bagi 2020-2021 juga menyaksikan Pahang di kedudukan empat terbaik di Malaysia dengan jumlah 668 aduan berbanding 3,254 jumlah aduan bagi negeri jiran, Kelantan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.