Ahmad Zahid Hadir Rumah Terbuka Malaysia Madani, Santuni Rakyat Kelantan

KOTA BHARU, 12 Mei – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani kali ini yang dianjurkan sempena Hari Raya Aidilfitri menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat di negeri Kelantan.

Berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, majlis dihadiri Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam meraikan majlis tersebut dan turut menyantuni rakyat yang hadir.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi negara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri Kabinet yang lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan barisan kepimpinan UMNO negeri turut hadir bagi memeriahkan suasana.

Berdasarkan tinjauan, rakyat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur mula membanjiri lokasi bermula pukul 6 petang bagi bersama meraikan majlis rumah terbuka anjuran Kerajaan Perpaduan itu.

Setakat jam 10 malam tadi, dianggarkan lebih 10,000 pengunjung hadir untuk menikmati jamuan disediakan di khemah tetamu selain untuk beramah mesra dengan kepimpinan Pusat.

Untuk rekod, selain Kelantan, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani sebelum ini telah diadakan di Kedah pada 29 April, Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei).

Manakala di Terengganu ia akan diadakan esok (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.