UMNO Kekal Miliki Keahlian Orang Melayu Terbesar – Lokman

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata UMNO sebagai sebuah parti terbesar di negara ini kekal sebagai satu-satunya parti yang memiliki keahlian orang Melayu paling ramai.

Katanya, perkara tersebut merupakan kegusaran kepada Perikatan Nasional (PN) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang cuba untuk menggantikan UMNO dengan menarik sokongan orang Melayu kepada mereka.

“PPBM matlamat mereka adalah untuk tanam UMNO, kalau kita hendak bekerjasama, anda rasa boleh kita berjaya? Tidur satu bantal mimpi lain-lain. Sama juga dengan Pas, target group pun sama.

“Realitinya UMNO masih lagi mempunyai keahlian orang Melayu paling ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada temubual ‘Bicara Madani: Mampukah Kerajaan Madani Bertahan?’ yang diadakan di Auditorium Menara Dato Onn, di sini malam tadi.

Lokman dalam pada itu berkata strategi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memberikan keuntungan sebaiknya kepada gabungan itu dan juga Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kebijaksanaan pemimpin merupakan kunci utama termasuk dalam pembahagian kerusi untuk mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Bagi saya kesepakatan dan kerjasama baharu ini suatu rahmah, kelebihan UMNO yang mewakili Melayu dan PH berganding bahu duduk semeja bekerjasama kerana bersama dengan PH masa hadapan kita akan jauh lebih cerah berbanding PN.

“Kita akan mati kalau bersama dengan PN, sama juga dengan PH, kalau kawasan tu Cina tak ramai sampai bila pun tidak boleh menang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.