PRN Bakal Jadi ‘Test Ground’ Kepada Hubungan UMNO/BN Dan PH – Azalina


KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman menganggap bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri dalam masa terdekat ini adalah sebagai medan ujian kepada penerimaan rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, elemen utama kepada pembentukan kerajaan ini adalah titah daripada Yang di-Pertuan Agong yang menginginkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi mengatasi masalah parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Sejujurnya, seumur hidup saya tidak pernah terfikir bahawa Dap akan menjadi rakan kongsi saya malah PKR. Elemen utama di sini ialah titah daripada Agong.

“Kedua, saya sendiri secara peribadi menyedari hakikat bahawa kita pernah bekerjasama terutamanya dalam Akta Anti Lompat Parti. Penyertaan dan pendedahan UMNO/BN bersama PH membuatkan kami sedar bahawa ada agenda tertentu yang boleh kita bekerjasama.

“… dan bagi saya secara peribadi, saya teruja dengan agenda reformasi. Saya sebagai penasihat undang-undang parti maka apabila kita berkomunikasi dan bercakap tentang kerajaan campuran, saya secara peribadi merasakan PH jauh lebih baik untuk reformasi dalam erti kata saling memahami konsep reformasi,” katanya ketika sesi dialog bertajuk ‘Mendalami Demokrasi Di Malaysia: Membentuk Kerajaan Gabungan dan Parlimen Tergantung Berfungsi’, semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu turut menganggap bahawa rakyat mempunyai pengharapan yang tinggi apabila disebutkan mengenai agenda reformasi.

“Saya rasa orang ramai mempunyai pengharapan yang lebih tinggi terhadap agenda perubahan dan salah satu daripada isu ini seperti apabila saya bercakap tentang Ombudsman, saya rasa orang ramai menjangkakan bahawa apabila ia datang kepada jangkaan tertentu terhadap agensi yang berurusan dengan orang ramai.

“Apa kita ada sekarang ialah Biro Pengaduan Awam yang dianggap sebagai penubuhan dalaman. Tetapi rakyat mahu melihat persediaan lebih bebas dalam mengambil aduan mengenai pentadbiran awam sebagai contoh,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azalina mengakui bahawa setiap parti mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing namun hubungan antara UMNO/BN serta PH tidak akan memperlihatkan berlakunya pertindihan kerusi.

“Setiap parti politik pasti mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing lebih-lebih lagi ketika berunding dan dari pemerhatian umum, untuk PRN atau mana-mana pilihan raya kecil akan datang ia bergantung kepada kerusi yang telah ditawarkan dan calon.

“Sebagai contoh, mengenai hubungan dengan UMNO/BN dan PH, satu perkara yang jelas ialah peratusan pertindihan kerusi adalah sangat minimum. Kita tidak akan bertarung di kerusi yang sama dan peratusannya sangat rendah.

“Saya percaya bahawa apa PRN akan datang ini bakal menjadi medan ujian untuk hubungan kita kerana enam negeri yang sedang berjalan akan menjadi pembolehubah yang berbeza,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau menjadi panel dalam sesi diskusi yang bertajuk ‘Mendalami Demokrasi Di Malaysia: Membentuk Kerajaan Gabungan dan Parlimen Tergantung Berfungsi’ anjuran BERSIH, semalam.

Turut hadir sebagai panel dalam program yang sama ialah Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.