Proklamasi Melayu Sekadar Gimik Politik Menjelang PRN

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan Proklamasi Melayu yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar gimik politik apatah lagi enam negeri bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa bulan sahaja lagi.

Menurut beliau selama 22 tahun mengemudi negara dan menjadi Perdana Menteri umumnya masyarakat boleh melihat serta menilai apakah yang dilaksanakan oleh Dr Mahathir berhubung perkara yang beliau canang dan gerakkan hari ini.

“Kita ambil contoh bagaimana sistem meritokrasi…bukankah sistem ini diperkenalkan pada zaman pemerintahan beliau. Jadi apa yang beliau gerakkan hari ini sekadar mainan politik dan pada saya langkah tersebut sepertimana yang saya katakan di atas sekadar gimik politik. Yerlah…lagi pun semua sudah tahu enam negeri bakal mengadakan pilihan raya tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sharkar turut melihat kestabilan politik negara perlu dipertahankan sebaiknya kerana ia memberi kesan langsung bukan sahaja kepada rakyat malah kepada negara itu sendiri.

Kata beliau desas-desus berkaitan pertukaran kerajaan pusat tidak akan memberi apa-apa makna apatah lagi Akta Anti Lompat Parti sudah pun berkuat kuasa dan kerana itulah tumpuan hari ini seharusnya kepada soal membangunkan negara dan rakyat.

“Bukankah mana-mana ahli Parlimen yang melompat parti akan hilang kerusi dan kawasan berkenaan perlu diadakan pilihan raya semula dan selagi mana keputusan atau pilihan raya tidak diadakan dan tidak diketahui parti mana yang diisytiharkan menang, selagi itulah kerajaan baharu tidak akan dibentuk.

“Itu pun jika parti yang dikatakan akan mengambil alih kerajaan menang di kawasan yang diisytiharkan. Lagi pun bukankah Pilihan Raya Kecil (PRK) akan menelan kos perbelanjaan tinggi dan penggunaan wang rakyat. Ini adalah satu pembaziran semata-mata diadakan PRK dengan sengaja. Adalah lebih baik perbelanjaan untuk PRK itu disalurkan kepada rakyat dengan pelbagai pelaksanaan yang tentunya akan memberi pelbagai manfaat kepada mereka. Sebab itu saya katakan perkara ini tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat serta negara,” katanya.

Kata beliau lagi, perlu diingat bukankah sokongan kepada mana-mana pemimpin sebagai calon perdana menteri secara ‘en-bloc’ dan ini sekali lagi bakal menjadi pertikaian seterusnya kepada soal pembentukan kerajaan baharu kelak.

Justeru beliau menegaskan adalah amat penting kerajaan hari ini perlu dikekalkan kestabilannya supaya tumpuan dan agenda kepada pembangunan rakyat dapat dilaksanakan serta dirancang dengan sebaiknya.

“Malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

“Jadi marilah kita teruskan keutamaan kita untuk membangunkan negara dan melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.