Ketepikan Perbezaaan Agama Dan Fahaman Politik Untuk Kekalkan Perpaduan – Bung

KOTA KINABALU, 8 Mei – Rakyat di negeri ini perlu mengenepikan perbezaan agama dan fahaman politik jika mahu mengekalkan perpaduan di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata dalam menentukan hala tuju negeri, fokus perlu diberikan dari segi ekonomi serta tadbir urus dan bukannya ketidaksefahaman antara kaum.

“Kita boleh berbeza ideologi politik namun dalam menjaga keharmonian kaum perkara ini perlu menjadi keutamaan, kemajuan dan pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan jika kita terus bertingkah hanya mementingkan kepentingan politik semata-matanya,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Sabah di bangunan UMNO baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri hampir 15,000 orang pengujung itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Naib Presiden yang juga Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO `Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, wakil-wakil dari parti komponen Barisan Nasional (BN), Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakong dan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Wetrom Bahanda.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, konsep Rumah Terbuka yang menjadi amalan di negara ini untuk perayaan-perayaan terbesar seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali merupakan wadah terbaik dalam penyatuan kaum di mana setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dapat berkongsi perayaan.

“Kemeriahan sambutan hari ini yang dikunjungi dari pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dengan kehadiran bersama pemimpin-pemimpin dari MCA, MIC, Warisan dan KDM menunjukan fahaman politik bukanlah pemisah untuk mengekalkan hubungan harmoni dan mengukuhkan hubungan silatul Rahim,” katanya lagi.

Menurut Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, kehadiran pelbagai lapisan rakyat dan pemimpin dari pelbagai parti poltik pada majlis tersebut memberikan gambaran konsep Kerajaan Perpaduan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihayati walaupun kerajaan negeri tidak mempraktikkan sepenuhnya konsep tersebut.

“Apapun sama ada dipratikkan atau sebaliknya sebagai pemimpin kita cuba manfaatkan apa yang terbaik untuk membantu mengurus negeri agar kemajuan terus dicapai,” katanya.

Menurut beliau suhu ketajaman politik ketika ini perlu diturunkan supaya negeri ini boleh bangkit semula dan membawa agenda pembanguan itu bersama-sama demi kebaikan rakyat.

Bung berkeyakinan bahawa negara ini dapat bangkit semula dengan lebih kuat dan hebat jika ada kepercayaan, saling menghormati serta kasih sayang sejajar konsep Malaysia Madani. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.