Kedah Perlu #kalihbagisama Dengan Persekutuan, Demi Kemajuan Dan Manfaat Rakyat – Sabrina


KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berpandangan slogan #kalihbagisama penting dalam memberi kesedaran kepada rakyat di Kedah untuk menjadikan negeri ini sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, ini penting bagi memastikan kerangka kemajuan di peringkat negeri dilaksanakan sebaiknya demi manfaat rakyat.

“Perlu maklumkan pada rakyat bahawa kerajaan kena sama sebab itu kita keluarkan #kalihbagisama maksudnya kerajaan negeri Kedah ini kena sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya hendak membangun dengan hebat dan betul-betul hendak menolong orang Kedah… kalau kerajaan tak sama tidak ke mana negeri ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat Negeri Kedah.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa penerimaan terhadap slogan #kalihbagisama juga sangat baik terutama dalam kalangan anak muda yang dahagakan kemajuan di negeri ini.

Dalam pada itu, Sabrina turut memaklumkan bahawa segala gerak kerja telah dilaksanakan bersama dengan rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan rakyat memahami aspirasi yang dibawa mereka.

“Anak muda dilihat sudah boleh terima tetapi dalam masa menuju ke PRN ini kita masih ada masa lagi untuk tunjukkan betul-betul kepada rakyat di negeri ini bahawa kita ini boleh bersama, duduk sama tinggi… sama rendah dengan parti-parti politik yang bergabung ini.

“Kita juga kena buktikan bahawa inilah gabungan terbaik untuk orang Kedah yang mana kita akan sediakan tawaran terbaik dan baharu kepada rakyat yang lebih bermanfaat, mensejahterakan berbanding yang ada pada ketika ini.

“Kenapa rakyat Kedah hendak menolak gabungan yang elok, gabungan lebih baik daripada yang ada sekarang? Insya-Allah untuk menuju ke PRN ini nanti akan ada banyak tawaran daripada kerajaan perpaduan yang meliputi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ini akan beri kepada rakyat.

“Bagi saya rakyat kedah tidak boleh lagi untuk tidak terima, mesti bersama dengan kita #kalihbagisama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.