Hadi Awang Lalang Politik, Cakap Apa Sahaja Kepentingan Sendiri – Isham

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menempelak Tan Sri Abdul Hadi Awang, sambil menyifatkan pemimpin Pas itu sebagai lalang politik.

Katanya ini kerana, Hadi Awang akan mengeluarkan kenyataan berdasarkan kepentingan politik mengikut keadaan semasa.

“Haji Hadi ini akan cakap apa sahaja untuk kepentingan politik. Dia ini macam lalang politik. Saya ingat lagi masa Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri dia peluk cium Najib dan UMNO.

“Selepas UMNO tidak lagi berkuasa dia u-turn dan kata UMNO sudah keruh, tapi bila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) kena dakwa kes rasuah dan skandal Jana Wibawa, dia diam dan tidak kata keruh pula.

“Hai Haji Hadi. Muslihat itu bukan semuanya baik, kerap kali penipuan adalah penipuan dan bukan muslihat. Dan lebai tidak baik menipu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, Hadi Awang juga pernah menggelarkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bermacam gelaran dan menyuruh Dr Mahathir bertaubat berkenaan pembunuhan Memali.

“Selepas itu bila Dr Mahathir jadi Perdana Menteri semula pada tahun 2018 dia pergi jumpa dan minta wang ehsan. Selepas diberi wang ehsan, dia janji akan sokong Dr Mahathir jika berlaku undi percaya di Parlimen.

“Tetapi bila dia jumpa Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan, dia tikam belakang Dr Mahathir dan sokong Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri. Dan bila Muhyiddin jadi Perdana Menteri dia peluk Muhyiddin pula.

“Sekarang dia peluk dan bodek Mahathir semula sebab pilihanraya nak dekat dan dia mahu guna Mahathir untuk tarik sokongan Melayu Mahathir,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.