Ahmad Zahid Rai Dan Santuni Masyarakat Bagan Datuk

BAGAN DATUK, 6 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan UMNO Bagan Datuk malam tadi menyantuni masyarakat setempat yang membanjiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kawasan berkenaan yang diadakan di dataran terbuka Masjid Tuminah Hamidi.

Masjid tersebut yang turut dikenali masjid terapung menjadi tumpuan penduduk sejak 8.00 malam yang memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan sajian pelbagai bentuk makanan serta hidangan.

Sejurus selesai solat Maghrib, pelbagai menu yang disediakan termasuk sate, lemang, soto, aneka kuih muih dan pelbagai menu lain menjadi pilihan masyarakat yang silih berganti mengambil tempat yang disediakan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengambil kesempatan beramah mesra dengan masyarakat setempat yang menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Persembahan nasyid dan selawat daripada anak-anak tahfiz menyerikan lagi majlis sambutan Aidilfitri Bagan Datuk yang berakhir kira-kira pukul 11.00 malam.

Ahmad Zahid dan isteri turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada kanak-kanak yang hadir dan menerusi ucapan ringkasnya beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon maaf atas serba kekurangan yang timbul pada majlis tersebut.

Masjid Tuminah Hamidi yang mampu menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa, mula dibina pada 2017 dengan kos kira-kira RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah, yayasan milik keluarga Ahmad Zahid.

Masjid yang terletak di pekan Bagan Datuk yang menjadi daya tarikan baharu daerah tersebut, turut memiliki dataran terbuka dan dewan serbaguna yang boleh diadakan pelbagai acara, selain bilik pameran dan persidangan dua tingkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.