Wanita UMNO Mohon Jaminan Tiada Lagi kenaikan OPR, Cadang Pengecualian Pada Golongan Sasar

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Wanita UMNO Malaysia menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memberi penjelasan dalam ‘bahasa mudah’ kepada rakyat berkenaan apakah signifikannya BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 3 peratus.

Ketua Penerangan, Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata sehingga hari ini, BNM telah memberikan penjelasan yang terlalu teknikal dan kurang difahami sehingga menimbul persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan.

“Kesan kenaikan OPR secara agresif, yang merupakan kali ke lima sejak Mei 2022 ini telah menyebabkan kadar bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik dan amat membebankan peminjam-peminjam terutama golongan B40.

“Justeru Wanita UMNO mendesak BNM agar memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan OPR dalam masa terdekat dengan mengambil kira nasib rakyat yang sedang bergelut dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal terbabit.

Dalam Hal ini Rosni memaklumkan bahawa Wanita UMNO juga mencadangkan agar BNM mengambil jalan tengah dan mempunyai sedikit empati dengan mengarahkan semua bank agar memberi pengecualian kenaikan ini kepada golongan sasar atau terjejas.

Dilaporkan pada Rabu, MPC BNM telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Bank pusat itu berkata ekonomi global terus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, dan pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.