Sokongan 148 Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan Masih Kekal, Intact – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Sokongan 148 Ahli Parlimen yang menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama dimeterai gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan masih lagi kekal dan utuh, kata Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata medan untuk sebarang perbincangan atau rundingan antara parti dalam kerajaan sentiasa berjalan pada setiap minggu, dengan 148 Ahli Parlimen yang tandatangani MoU Kerajaan Perpaduan masih lagi kekal dan utuh.

Katanya Kerajaan Perpaduan bukan melibatkan sesebuah parti secara bersendirian, dan tiada satu parti tertentu yang mendominasi parti lain, malah semua pihak yang membentuk perpaduan itu sentiasa mempunyai ruang untuk berkomunikasi.

“Biasalah.. orang yang tidak senang dengan kekuatan atau kekukuhan yang ada ini adalah sebenarnya mereka yang cemburu tidak dapat membentuk kerajaan lebih awal,” katanya pada sidang media berhubung Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Sebelum ini media tempatan melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman memberi bayangan berkaitan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan, dengan memuat naik angka 126 di Facebook miliknya.

Mengenai rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata perbincangan amat positif meskipun mengakui terdapat pertindihan kerusi.

“Setakat hari ini, nampak kerjasama khususnya enam PRN ini antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) amat baik sekali. Semua enam PRN ada pertindihan (kerusi), sebab sebelum ini BN bertanding melawan PH dan sebaliknya.

“Namun perbincangan dan rundingan sedang berjalan dan kami terima laporan sebentar tadi, boleh saya katakan ia amat positif dan konstruktif,” katanya.

Pada 22 Feb lepas, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.