Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Bakal Jadi Titik Wujud Persefahaman, Pertahan Kestabilan Politik

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang bakal berlangsung pada 14 Mei ini bakal menjadi titik tolak dalam mewujudkan persefahaman antara parti politik dan mempertahankan kestabilan negara.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen yang bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ ini akan bermula seawal jam 10.00 pagi dengan Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Pemuda Puteri.

“Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia ini akan diadakan pada Ahad, 14 Mei 2023. Ianya akan bermula pada jam 10.00 pagi dan akan berlangsung dua sesi secara serentak iaitu Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan Malaysia yang akan bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Satu lagi ialah Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn dan dijangka tamat pada jam 12.30 tengahari sebelum konvensyen utama iaitu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bermula dengan sidang bicara rakyat.

“Sesi ini akan terbahagi kepada tiga sub-sesi dan akan dibentangkan oleh pemimpin-pemimpin daripada parti-parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk membicarakan berkenaan komitmen kerajaan dalam isu-isu berkaitan rakyat terutamanya ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan juga konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO itu turut memaklumkan bahawa konvensyen berskala besar ini diadakan buat julung-julung kalinya selepas enam bulan kerajaan ditubuhkan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Sesi yang kedua akan menghimpunkan Presiden-Presiden yang merupakan pengerusi parti-parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pada kemuncaknya adalah amanat daripada Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini merupakan konvensyen kali pertama yang menghimpunkan parti-parti politik selepas enam bulan kita menubuhkan kerajaan.

“Ini merupakan konvensyen berskala besar pertama, menghimpunkan kepimpinan daripada 19 parti politik termasuk kepimpinan di peringkat parlimen-parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut sama membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Asyraf Wajdi lagi, konvensyen ini merupakan pentas yang terbaik untuk para kepimpinan mengukuhkan tekad dan keazaman serta komited dalam meneruskan agenda yang ingin dilaksanakan.

“Diharapkan program ini ia akan menjadi titik tolak dalam mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi yang lebih utuh di peringkat kepimpinan parti-parti politik dengan satu matlamat jelas iaitu memastikan kestabilan politik dapat terus dipertahankan.

“… terutamanya untuk memacu agenda yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat baik dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya kerana kita tidak mahu lagi peristiwa-peristiwa lampau berulang kembali.

“Ini merupakan pentas yang terbaik bagi kepimpinan parti-parti politik mengukuhkan dan menyatakan tekad serta keazaman secara bersama untuk memastikan komitmen, agenda yang akan dilaksanakan di dukung sepenuhnya oleh kepimpinan parti politik di semua peringkat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.