Dukungan UMNO Kepada Malaysia Madani Demi Kepentingan Rakyat – Sabrina

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berpandangan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani membuktikan penyatuan dalam kalangan parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat.

Katanya, ini termasuk UMNO sebagai salah sebuah parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan melalui kepimpinan dalam Kabinet dan parti mendekati rakyat melalui platform pengajuran majlis rumah terbuka ini.

“Ideologi politik ini letak tepi, kerana apabila bercakap berkenaan kerajaan dan rakyat kita kena bersatu padu tidak kisah parti apa pun.

“Macam kita di UMNO terbuka, bersama-sama menyokong Kerajaan Perpaduan. Saya berharap kerajaan ini dapat diterus, dikekalkan dalam mengharmonikan negeri Kedah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani dianjurkan pertama kali di Hotel Raia, Alor Setar pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata jamuan hari raya Perdana Menteri yang pertama kali diadakan di peringkat negeri adalah diluar kelaziman penganjurannya yang sinonim dilaksanakan di Seri Perdana.

“Saya lihat kehadiran sangat hebat macam-macam lapisan masyarakat datang, kanak-kanak, dewasa sampaikan warga emas, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan sehingga ke duta.

“Sangat kagum melihat penganjuran ini yang menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan ini merealisasikan pendekatan dibawa dan dilaksana kepada rakyat,” ujar beliau.

Jelas Sabrina pendekatan ini memberi makna tersendiri kepada rakyat apabila dapat bertemu sendiri dengan pemimpin negara.

“Bila buat di Kedah ini orang sini sangat suka, menteri semua datang kerana kerajaan ini masih baru jadi rakyat pun tidak ramai mengenali barisan Kabinet,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.