Puteri UMNO Sedia Kerjasama Dengan Sayap Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan – Shamellya

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bersedia untuk bekerjasama bersama-sama sayap pemuda parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyebarkan segala info kepada anak muda mengenai kerajaan yang telah terbentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berkata, agenda keharmonian antara parti komponen yang ditonjolkan semasa Program Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan, semalam patut dibawa sehingga ke akar umbi.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada penganjur dan semua rakan parti komponen yang sudi hadir bersama untuk makan bersama-sama.

“Kita pun tidak pernah sangka yang kita akan duduk semeja maka sekarang ini kita perlu membawa agenda keharmonian ini ke luar. Bukan sahaja di atas bahkan sehingga ke akar umbi,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Program Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan, semalam.

Jelasnya, Pergerakan Puteri UMNO merupakan sayap UMNO yang sentiasa dekat dengan anak muda dan beliau mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk mengukuhkan lagi ikatan tersebut.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia looking forward to work together bagi mendekati anak muda. Kalau kita sedar, Pergerakan Puteri UMNO adalah sebuah sayap yang memfokuskan kepada anak muda di luar sana.

“Jadi dipohon kepada rakan-rakan, kita boleh bekerjasama untuk memberikan segenap info supaya mereka (anak muda) dapat menerima Kerajaan Perpaduan yang telah ada sekarang ini.

“Insya-Allah kita akan bekerja bersama demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.

Majlis Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan yang diadakan semalam merupakan medium terbaik bagi mengeratkan hubungan pemuda rentas parti untuk bekerjasama secara lebih dekat terutamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Rata-rata anak muda yang hadir pada majlis ini membawa azam dan tekad untuk menjalin hubungan baik sesama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi mengukuhkan lagi situasi politik negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.