Pimpinan Muda Bertanggungjawab Pastikan Generasi Akan Datang Cakna Politik

SHAH ALAM, 3 Mei – Pimpinan muda politik pada hari ini bertanggungjawab untuk memastikan rakyat cakna dan sayang dengan politik dalam tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap orang muda sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, rata-rata daripada mereka sudah muak dengan drama politik.

“Kita ada buat survey di kalangan orang muda. Kita tanya kepada mereka, parti mana yang akan dipilih pada PRU ke-15. Rata-rata mengatakan bahawa mereka muak dengan politik dan juga perangai ahli-ahli politik.

“Maka, kita sebagai pimpinan muda politik, kita kena pastikan bahawa rakyat Malaysia pada lima atau sepuluh tahun akan datang cakna dan sayang dengan politik,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Program Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan, Selasa malam.

Jelasnya, pemimpin anak muda perlulah mencipta cara tersendiri mengikut peredaran zaman bagi menarik golongan seusia agar lebih dekat dengan politik.

“Kalau kita nak melihat wajah Malaysia ini berada di tangan orang muda, maka sudah tentulah kita perlu cipta cara tersendiri. Kita kena buat apa yang kita nak buat. Kita tidak boleh ikut apa yang orang lama telah aturkan untuk kita.

“Pada malam ini kita telah mencipta sejarah. Tidak pernah difikirkan bahawa Pemuda UMNO akan berada dalam satu saf kepimpinan Pemuda Pakatan Harapan (PH). Tidak pernah langsung dalam pemikiran kami.

“Negara ini, yang akan mencorakkannya sepuluh tahun akan datang adalah kita. Malaysia ini kalau kita maju ke hadapan juga bergantung kepada kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan pendirian UMNO/Barisan Nasional (BN) yang akan tetap menyokong Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini dan bersama bergerak ke hadapan, merencana negara.

“Kami di Barisan Nasional (BN) nak beritahu bahawa kita akan tetap menyokong Kerajaan Perpaduan ini hingga ke akhirnya.

“Tidak ada lagi prejudis, syak wasangka maka ini adalah masa kita untuk terus ke hadapan merencanakan masa depan negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.