PM Anwar Hadir Ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahmad Zahid Di Sri Satria

PUTRAJAYA, 30 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluangkan masa menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Sri Satria, di sini, hari ini.

Anwar tiba di Sri Satria pada jam 6.20 petang dan disambut Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, serta isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

Majlis untuk tetamu kenamaan dan jemputan khas bermula sejak jam 4 petang itu turut dihadiri anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis adalah untuk kehadiran orang awam bermula jam 8 malam hingga 11 malam.

Anwar dan Ahmad Zahid turut meluangkan masa menyantuni tetamu yang hadir tersebut.

Sri Satria adalah kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.