Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Tahun Hadapan Lebih Meriah Sempena TMM

MELAKA, 29 April – Penganjuran Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan Negeri Melaka pada tahun hadapan akan diadakan pada skala lebih besar dan meriah sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran rumah terbuka berkenaan akan dianjurkan di kawasan terbuka dan berkonsep taman dengan pelbagai eleman pencahayaan yang cantik dan menarik.

“Kita telah mendapat penaja bagi lokasi penganjuran Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan Negeri Melaka pada tahun hadapan tetapi perincian lokasinya akan diumumkan kemudian.

“Di kawasan itu juga terdapat banyak tarikan pelancong sekali gus dijangka dapat menarik kedatangan lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mengulas penganjuran rumah terbuka hari ini, Ab Rauf berkata dianggarkan lebih 20,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan umur, latar belakang, agama dan bangsa dari dalam dan luar Melaka menghadiri majlis berkenaan yang diadakan bermula 10 pagi hingga 3 petang.

“Saya rasa amat berbangga dan teruja, dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibina di Melaka ini dapat kita meraikan dengan semua rakyat dalam suasana cukup meriah dengan pelbagai hidangan makanan.

“Setakat 11 pagi tadi saya anggarkan lebih 7,000 pengunjung telah hadir ke majlis ini dan kita menganggarkan lebih ramai lagi hadir sehingga majlis tamat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.