PRN: Keputusan Pembahagian Kerusi Akan Dibawa Ke Peringkat Tertinggi Parti – Ahmad Zahid

PONTIAN, 29 April – Semua keputusan perbincangan mengenai pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibawa ke peringkat tertinggi parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, perbincangan di peringkat negeri telah pun diadakan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di enam negeri yang terlibat.

“Kita telah mengadakan perbincangan di peringkat negeri iaitu diantara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak akan menggunakan pendekatan parti-parti politik di dalam gabungan parti komponen untuk mengadakan perbincangan secara berasingan.

“Maka, sebarang perundingan hendaklah melibatkan dua parti gabungan iaitu BN dan PH,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pontian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi BN itu turut menegaskan bahawa terdapat pelbagai formula telah diguna pakai dan ianya akan dimuktamadkan setelah mencapai kata sepakat.

“Semua keputusan yang dibawa dalam perbincangan di enam negeri ini akan dibawa ke peringkat tertinggi dan diperbincangkan tentang kerusi-kerusi yang sesuai untuk ditandingi.

“Insya-Allah, apabila kita mula mengadakan perbincangan ini, kita akan mencari jalan yang terbaik tentang kebolehmenangan kerusi-kerusi di keenam-enam negeri tersebut.

“Ada pelbagai formula yang telah kami perbincangkan dan ianya akan dimuktamadkan apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.