Isunya MB… Pembinaan Lewat Daripada Jadual Dan Sulitkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 April – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin sekali lagi mengingatkan Menteri Besar (MB) negeri itu bahawa isu yang sebenar adalah pembinaan projek Loji Rawatan Air (LRA) lewat daripada jadual dan ianya sekaligus menyulitkan rakyat.

Beliau seterusnya berpandangan bahawa MB Kedah tidak faham isu yang dibangkitkan iaitu projek LRA sangat lewat kemajuannya dan tidak pernah sama sekali mengatakan ianya tergendala malah sering disebut  ianya lewat disiapkan.

“Bagi saya MB telah mengelirukan rakyat apabila membuat kenyataan bahawa status LRA mengikut jadual namun jawapan dalam dewan undangan negeri ianya lewat 20 peratus.

“Lagipun pada 2020, MB maklum kesemua loji akan siap 2023, namun sehingga kini kesemua loji gagal disiapkan dan beroperasi, lebih daripada satu juta pengguna terkesan, masih mendabik dada maklum tiada kelewatan?” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu Shaiful mencabar MB agar mengemukakan garis masa penuh kesemua laporan penyiapan LRA negeri Kedah bagi membuktikan bahawa ianya berada didalam perkembangan baik dan mengikut jadual.

“Kita juga mencabar MB membawa media ke setiap tapak LRA berserta taklimat penuh pembangunan LRA daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA). Kalau sebelum ini kerajaan boleh bawa rombongan media bagi menyaksikan sendiri perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut, kenapa tidak atas dasar merungkaikan kemusykilan, beliau buat perkara yang sama.

“Kita juga mencabar MB kemukakan rasional menganugerahkan dua projek LRA dan NRW kepada sebuah syarikat yang sama. Sepatutnya projek-projek yang kritikal ini diberikan kepada syarikat yang benar berkeupayaan dan fokus. Kita juga mencabar MB untuk segera menamakan gerak kerja jangka pendek dan sederhana bagi menyelesaikan permasalahan air dinegeri Kedah,” ujarnya.

Tegas beliau UMNO Kedah kecewa akibat kelalaian dan kegagalan tadbir urus kerajaan negeri yang mengakibatkan lebih daripda satu juta pengguna terkesan apabila tiba musim perayaan.

“Saya dengan tegas meminta MB penuhi semua cabaran ini, hentikan kenyataan-kenyataan mengelirukan dan jangan terlalu berpolitik demi rakyat. Jangan terus menerus beri harapan palsu kepada rakyat kerana MB perlu bersikap jujur dan telus,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.