Ahmad Zahid Hadir Meriahkan Rumah Terbuka Malaysia Madani Di Kedah

ALOR SETAR, 29 April – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang pertama kali dianjurkan sempena Hari Raya Aidilfitri menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat di negeri Kedah.

Berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar majlis dihadiri Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam meraikan sambutan hari raya ini.

Berdasarkan tinjauan, orang ramai mula membanjiri lokasi bermula 9 pagi walaupun program dijadual bermula pada 10 pagi.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri Kabinet yang lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut hadir bagi memeriahkan suasana.

Setakat jam 11 pagi tadi, dianggarkan lebih 10,000 pengunjung hadir untuk menikmati jamuan disediakan di khemah tetamu selain untuk beramah mesra dengan kepimpinan Pusat.

Untuk rekod Kerajaan Persekutuan hanya terlibat dalam penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri 2023 di tiga negeri sahaja iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

JPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penganjuran majlis rumah terbuka di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pula dianjurkan oleh kerajaan negeri masing-masing. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.