Raikan Aidilfitri Dengan Tekad Kukuhkan Persaudaraan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 28 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memohon rakyat mahupun ahli UMNO agar dapat memanfaatkan sambutan Aidilfitri bersama keluarga dan memperkukuhkan ikatan persaudaraan.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat.

“Saya juga ingin mengucapkan dan mendoakan kesejahteraan serta keselamatan kepada rakan dan sahabat handai, hati-hati di jalan raya, balik ke kampung berjumpa dengan ibu, bapa, sanak saudara dan yang penting bagi kita adalah hubungan ukhwah mestilah dijaga dan diperkukuhkan.

“Kepada semua warga Jelebu dan Negeri Sembilan yang saya sayangi dan hormati, saya percaya kehadiran keluarga terdekat di rumah sudah pasti lebih istimewa kerana dapat meluangkan masa bersama.

“Ramadan adalah satu perjuangan. Syawal adalah satu kemenangan dan semoga ibadat kita selama sebulan diterima Allah SWT dan tarbiah sebulan akan membuahkan hasil menjadikan insan yang lebih bertaqwa,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu juga mengharapkan agar rakyat di dalam negara ini kekal hormat menghormati antara satu sama lain dan saling bermaafan.

“Kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam dan juga pada kaum-kaum yang lain kekalkan semangat persaudaraan, saling bermaaf-maafan dan hormat-menghormati sesama kita yang berbilang bangsa serta agama.

“Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.