Perubahan Iklim: Jawatankuasa Bencana Negara Koordinasi Kerjasama Dengan Pelbagai Pihak

PONTIAN, 28 April – Jawatankuasa Bencana Negara telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi melakukan pemantauan berikutan berlaku peningkatan suhu akhir-akhir ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cuaca panas yang melanda negara terutamanya di Terengganu telah mengakibatkan dua kematian setakat ini.

“Ketika ini iklim di negara kita telah berubah kerana panas mula melanda terutamanya di negeri Terengganu yang telah mengakibatkan dua kematian.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, kita telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“… bukan sahaja untuk memantau tetapi membantu mereka yang terkena strok haba kerana perubahan cuaca ini,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pontian, sebentar tadi.

Beliau turut menasihatkan rakyat yang berada di kawasan bersuhu tinggi agar minum air kosong dengan lebih kerap kerana difahamkan situasi ini akan berlarutan sehingga pertengahan Mei.

“KKM juga telah mengambil beberapa langkah tertentu. Kita nasihatkan rakyat di kawasan-kawasan yang dilanda haba panas ini agar dapat minum air dengan lebih banyak.

“Tetapi saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bahawa cuaca panas ini akan berakhir pada pertengahan bulan Mei.

“Saya berharap meskipun ini merupakan satu fenomena baharu tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil langkah kesihatan yang baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.