Demi Pembelaan Rakyat Agar Tidak Ketinggalan, Mohd Rafi Gesa Wujudkan Kembali KWP

LABUAN, 28 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menggesa agar Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) diwujudkan kembali agar rakyat keseluruhan di Wilayah terbabit mendapat pembelaan dan tidak dipinggirkan.

Katanya, bagi warga Wilayah Persekutuan Labuan, sejak 2018 lagi rakyat di sini telah dipinggirkan apatah lagi apabila Barisan Nasional (BN) tidak menjadi kerajaan yang menjadikan warga Labuan seakan dinafikan.

“Rakyat Labuan bukan hanya dinafikan dari segi pembangunan dan kemajuan malah sehingga kini infrastruktur yang seharusnya menjadi keutamaan pun gagal dilaksana.

“Warga Labuan saban hari berdepan masalah sama sebagaimana isu air dan gangguan bekalan elektrik yang terus membelenggu. Hal ini mesti ditangani secara tuntas agar rakyat keseluruhan mendapat peluang untuk hidup sejahtera dan harmoni,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Jelas beliau, kewujudan KWP akan dapat melaksanakan pentadbiran secara terus membabitkan tiga Wilayah iaitu Kuala Lumpur selaku Ibu Kota Malaysia yang menjadi pintu utama di peringkat antarabangsa, Putrajaya pula adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan manakala Labuan sewajarnya telah menjadi pusat perniagaan yang menempatkan hab minyak dan gas di samping pusat kewangan global.

“Malangnya, dengan pengecilan saiz pengurusan Wilayah Persekutuan, pelbagai perancangan yang telah dilaksana sebelum ini terhenti malah di Labuan berlaku kekangan membabitkan pelaksanaan aktiviti seharian rakyat ekoran kegagalan pengurusan sumber utama yang terus menjadi hambatan.

“Justeru, saya memohon agar pemansuhan Kementerian WP ditarik balik dan kembalikan fungsi kementerian terbabit demi kesaksamaan pembangunan dan kemajuan warga Malaysia secara holistik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.