Fokus Bangunkan Negara, Bela Rakyat … Hentikan Politiking – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 26 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan para pemain politik untuk lebih memberi fokus kepada membangunkan negara dan membela rakyat daripada ‘politiking’.

Memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, beliau bersetuju bahawa pembangunan negara perlu diberi fokus utama apatah lagi selepas pasca COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi.

“Saya setuju dengan GPS dan inilah yang perlu dilakukan. Tumpuan perlu diberikan untuk membangunkan negara dan membela rakyat.

“Apatah lagi kita sedang berhadapan dengan cabaran besar selepas pasca COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya menerusi hantaran di laman Faceboknya, semalam.

Ujarnya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 telah pun berlalu dan rakyat telah membuat keputusan masa inilah masanya untuk berbakti kepada negara.

“Cukuplah dengan mainan politik yang merugikan rakyat dan negara. PRU ke-15 telahpun berlalu dan rakyat telah membuat keputusan.

“Kini masa untuk berbakti dan bekerja untuk rakyat. Kita tidak perlu membuang masa dengan sesuatu yang merugikan,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan berlakunya sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, fokus semua pihak ketika ini adalah kepada pemulihan ekonomi negara sambil menyifatkan tindakan ‘politiking’ berterusan ini hanya akan membantutkan usaha dalam membantu meringankan beban rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.