Depani Cabaran… UMNO Tidak Harus Terperangkap Dalam Permainan Persepsi Nasional

KUALA LUMPUR, 26 April – UMNO tidak harus terperangkap dalam permainan persepsi nasional yang akan memperlahankan gerak kerja parti.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO perlu bermuhasabah dengan kekuatan yang berbaki pada parti.

“Mendepani PRN akan datang, UMNO perlu bermuhasabah kekuatan yang berbaki pada mereka semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 apabila kemenangan di negeri Selatan bertahan dari gelombang hijau adalah faktor kepimpinan negeri dan keperibadian calon bertanding.

“Justeru, formula ini wajar diperkukuhkan untuk diguna pakai pada enam negeri akan datang. Fokus yang perlu diberikan haruslah lebih bersasar kepada golongan pengundi.

“UMNO tidak harus terperangkap dalam permainan persepsi nasional yang akan memperlahankan gerak kerja mereka memandangkan isu-isu nasional hari ini lebih tertumpu kepada kementerian yang tidak dijawat oleh pemimpin UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Anis Anwar turut berpendapat bahawa PRN yang akan dihadapi dalam beberapa bulan lagi agak getir untuk UMNO meskipun Barisan Nasional (BN) berada sebahagian daripada kerajaan.

“PRN akan datang tidak kurang getirnya untuk UMNO berbanding PRU ke-15 yang lalu walaupun kini parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Berbaki beberapa bulan yang ada, adalah penting untuk UMNO benar-benar memahami sentimen orang Melayu khususnya bukan ahli parti sebagai pengundi majoriti di kerusi-kerusi Melayu.

“Kefahaman terhadap sentimen ini akan memberi panduan kepada UMNO mengenal pasti cabaran yang dihadapi dan membolehkan mereka mengatur gerak strategi yang lebih berkesan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.