RUU Anti Lompat Parti: Perbincangan Semua ADUN Pahang Dijadualkan Berlangsung Hari Ini – Mohd Sharkar

KUANTAN, 12 April – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bersetuju untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sekiranya mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli dewan.

Sehubungan itu, Speaker DUN Pahang merangkap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, perjumpaan dengan semua pihak termasuk dari parti pembangkang dijadualkan akan berlangsung pada hari ini bagi membincangkan persetujuan dengan lebih lanjut.

“Menteri Besar Pahang telah bersetuju untuk membawa RUU Anti Lompat Parti ini dibahaskan pada sidang DUN. Pada hari ini akan diadakan perjumpaan bersama semua ADUN Pahang, atas inisiatif speaker sendiri.

“RUU Anti Lompat Parti ini akan dibahaskan pada sidang DUN sekiranya mendapat sokongan penuh daripada semua pihak kerana kerajaan yang ada ini, untuk meluluskannya kita memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Kerajaan yang ada hari ini tidak cukup untuk mendapat dua pertiga maka kita memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk pembangkang. Sebab itulah kita akan mengadakan perjumpaan dengan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam DUN untuk kita mengadakan perbincangan selanjutnya,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, RUU ini patut diimplementasikan di negeri Pahang agar kepercayaan rakyat negeri itu kepada pemimpin yang dipilih tidak dikhianati akibat tabiat ‘lompat-melompat ini’.

“RUU ini telah pun diluluskan di Parlimen dan ianya memberikan hak kepada pengundi agar wakil yang mereka pilih itu tidak meninggalkan parti mereka. Banyak berlaku penggal lalu apabila wakil yang dipilih itu melompat parti.

“Rakyat tidak undi parti tersebut… jadi, mereka telah ingkar dengan keputusan yang dibuat oleh pengundi. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kita menghormati pengundi yang telah memberikan mandat kepada wakil rakyat tersebut.

“Apabila RUU ini dibentang dan diluluskan maka wakil rakyat yang melompat parti, secara automatik kerusi kawasan tersebut akan kosong dan akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya lagi.

Peruntukan Seksyen 6 Akta A1663 memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Sehingga kini, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.