Polemik KWSP: Antara Kehendak Sosial Dan Ekonomi Tidak Boleh Disatukan – Gulam Muzaffar

KUALA LUMPUR, 10 April – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan Gulam Muzaffar Gulam Mustakim berkata kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Ghani berkaitan isu pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat atas dasar ‘pinjaman’ atau ‘loan’ cukup tegas.

Kata beliau yang juga Ketua UMNO Batu, berdasarkan kenyataan tersebut jelas kerajaan tidak boleh menyatukan isu kehendak sosial serta ekonomi bagi tujuan ini, malah ianya tidak seimbang selain boleh merosakkan ekosistem kehidupan rakyat bagi tempoh jangka panjang.

“Mungkin kerajaan perlu mencari kaedah lain dari terus membebankan rakyat sekiranya mengeluarkan wang KWSP atas konsep pinjaman. Secara peribadi, saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengunakan konsep pelunasan atau ‘amortization’ bagi polemik KWSP ini.

“Sebagai contoh rakyat hanya boleh mengambil duit dari KWSP bergantung berapa jumlah yang akan terkumpul di akaun 2 dari tarikh permohonan sehingga umur 55. Ini bermaksud duit yang tersimpan sebelum ini tidak boleh disentuh bagi simpanan hari tua. Konsep ini juga akan terhenti sekiranya kakitangan itu berhenti sebelum tempoh umur 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah Gulam lagi, KWSP sendiri perlu mempunyai mekanisma atau lembaga khas untuk menguruskan kaedah ini dan bukannya diserahkan kepada pihak bank semata-mata bagi mengelakkan kos pengurusan serta faedah yg tinggi dikenakan.

“Secara tidak langsung KWSP sebenarnya melabur ke atas pencarum-pencarumnya sendiri yang lebih menguntungkan. Ibarat ‘left to right pocket approach’. Kaedah ini mungkin boleh dipratikkan bagi mengimbangi isu sosial yang mendesak serta mikro ekonomi negara,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.