Kelantan Jelajah Terakhir Ahmad Zahid Sempena Santunan Kasih Ramadan

MACHANG, 9 April – Negeri pantai timur, Kelantan menyaksikan jelajah terakhir Majlis Santunan Kasih Ramadan yang dianjurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diterajui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis berbuka puasa di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, Machang itu menjadi lokasi ke-13 Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri selepas menjelajah ke seluruh negara sempena Ramadan tahun ini.

Bermula 24 Mac, majlis tersebut bermula di lokasi pertama Masjid Batu 8, Gombak Selangor, kemudiannya menjelajah ke Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan Sabah.

Bercakap mengenai isu semasa di Kelantan, Ahmad Zahid menerusi ucapan meluahkan harapan kepada rakyat di negeri ini membuka peluang kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelas beliau, segala isu membelenggu rakyat di negeri ini meliputi keperluan asas seperti air dan insfrastruktur akan diselesaikan sebaiknya bagi memberi kemudahan kepada rakyat.

“Kestabilan ada di negeri ini tetapi pembangunannya tidak setara, masalah asas seperti air pun tidak dapat diselesaikan setelah pentadbiran 30 tahun diambil mereka, maka UMNO/BN dan insya-Allah parti berada bawah Kerajaan Perpaduan berazam untuk menjanjikan kepada rakyat beri peluang sekali ini kami perintah Kelantan.

“Insya-Allah kita akan selesaikan masalah air dalam tempoh itu jika ia berjaya sambung itu adalah pertama dan terakhir bagi kepada kami tetapi yakinlah dengan komitmen kepimpinan Putrajaya, parti-parti dalam BN dan rakan-rakan Kerajaan Perpaduan akan dilakukan sesuatu lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan kepimpinan lain.

Majlis tersebut juga sebagai meraikan pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat di samping penyampaian sumbangan kepada mereka serta Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan masjid. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.