RM63.75 Juta BKKA Untuk Pekebun Kecil Getah – Ahmad Zahid

PAPAR, 8 April – Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah RM63.75 juta kepada 318,642 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dengan penyaluran bantuan melalui kementeriannya dan Risda itu, setiap pekebun kecil getah akan memperoleh BKKA sebanyak RM200.

Katanya ia bertujuan meringankan beban kewangan dan memberi keceriaan kepada golongan pekebun kecil getah dalam memenuhi keperluan sempena sambutan Aidiliftiri yang bakal tiba.

“Bantuan ini akan mula dikreditkan selepas saya mengumumkan perkara ini hari ini dan terus dikreditkan ke akaun masing-masing.

“BKKA yang disalurkan ini adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sabah 2023 di Masjid As Salam, Kampung Benoni di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Sementara itu, dalam kenyataan media mengenai pengumuman itu yang diedarkan kepada pemberita pada majlis berkenaan, bakal penerima BKKA adalah daripada kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.

“BKKA disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar. Pemohon bantuan boleh menyemak status bayaran melalui laman sesawang https://bmt.risda.gov.my,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.