Pahang Tarik FDI RM11.01 Bilion Tahun Lepas – Menteri Besar

KUANTAN, 7 April – Pahang berjaya menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM11.01 bilion tahun lepas dengan RM5.6 bilion daripadanya dari China kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata penyumbang terbesar FDI dari China ialah daripada pengembangan Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang merupakan pelabur pertama di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) selain anak syarikat daripada Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Co Ltd.

Kewujudan MCKIP di Gebeng di sini sejak 10 tahun lepas, juga membawa jumlah pelaburan mencecah RM30 bilion setakat ini serta mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, katanya.

“MCKIP merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan bersama antara Malaysia dan China, Taman Perindustrian Qinzhau China-Malaysia (CMQIP) pula bertempat di China.

“Kita bekerjasama, mengiktiraf peraturan perniagaan dan dasar kedua-dua negara, serta memudahkan komuniti perniagaan yang melabur di dua taman perindustrian ini bagi memastikan penubuhan berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Ke-10 MCKIP, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri mengalu-alukan lebih banyak FDI terutamanya dalam industri teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan industri automotif dan penerbangan.

Ia seiring dengan pembinaan fasa kedua dan ketiga MCKIP yang sedang berjalan dengan baiik, ditambah dengan lokasinya yang strategik berhampiran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kuantan.

“Kita sedia pertimbangkan dari masa ke semasa tawaran yang boleh diberikan kepada pihak yang berminat melabur dan bersikap mesra pelabur supaya mereka memilih Pahang sebagai tapak perniagaan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.