Warna Politik Berbeda Bukan Halangan Bantu Rakyat – Ahmad Zahid
JITRA, 5 April – Hampir 1,500 mereka yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat diraikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di Masjid Al-A’la, Pekan Jitra, Kedah hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi lokasi ke-10 daripada 13 negeri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang telah bermula pada 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadan 1444H dengan lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak Selangor.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyampaikan bantuan kepada mereka yang terlibat antara lain peserta pertanian dan usahawan KEDA dan mereka yang lain.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turun ke setiap negeri pada Majlis Santunan Kasih Ramadhan bukan sahaja dapat beramah mesra dengan penduduk setempat malah mereka-mereka yang diraikan selain seluruh kakitangan KKDW.
Dalam ucapannya beliau berkata kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana negeri atas perbezaan politik.
“Kita tidak pernah ketepikan mana-mana negeri . Tadi di Perlis dan sekarang ini di Kedah yang turut dihadiri Menteri Besar. Ada persepsi yang pelbagai dan kami bersahabat lama dan pernah kempen di pentas sama. Tetapi apakan daya kasih tidak berpanjangan.
“Namun dari segi amal insya Allah kita tidak pernah berubah…sekali bersahabat tetap bersahabat. Untuk itu kami di KKDW jalinan yang harus terjalin antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri demi rakyat harus digalas…Kita tidak akan ketepikan dan menerusi pelbagai agensi kita akan beri tumpuan kepada rakyat seluruhnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program santunan kasih KKDW di Masjid Al-A’la di sini, petang tadi.
Turut serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pimpinan pusat lain serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan pimpinan UMNO negeri yang lain.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut serta memeriahkan majlis berkenaan.
Ahmad Zahid turut menegaskan komitmen kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri Kedah dan negeri lain biarpun warna berbeda tetapi demi rakyat keseluruhannya kepentingan rakyat diberikan keutamaan tanpa mengira warna-warna politik yang berbeda. ujarnya.- UMNO Online