Kepimpinan Muka Baharu Gambar Kesediaan Akar Umbi Realisasi Agenda Rejuvenasi UMNO – Aznel

KUALA LUMPUR, 5 April – Saf kepimpinan UMNO yang menampilkan muka baharu bakal membawa manifestasi tersendiri di samping menggambarkan kesediaan akar umbi dalam merealisasikan agenda rejuvenasi parti, kata Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim.

Jelas beliau, ini kerana mereka yang memenangi jawatan pada Pemilihan UMNO lalu mempunyai kelebihan kerana berpengalaman menerusi jawatan terdahulu dan wajar diangkat sebagai memantapkan parti keramat ini.

“Di Gerik, menampilkan muka-muka baharu yang sebelum ini sebagai ketua pemuda menjadi timbalan ketua bahagian, naib ketua pemuda menjadi ketua pemuda.

“Jadi kita menampilkan bakat generasi muda dan saya sebagai ketua bahagian sebagai ayah akan menjaga dan melihat mereka-mereka ini sebagai pelapis daripada umur 35 sehingga 45.

“Saya melihat di bahagian-bahagian lain juga membuat perubahan sebegini rupa untuk meremajakan UMNO kerana kita menghadapi kekalahan di saluran lima dan enam iaitu anak muda,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Tambah Aznel yang sebelum ini Timbalan Ketua UMNO bahagian berkata, pelbagai perkara telah dirangka dalam mendekati golongan muda khususnya perantau yang bakal pulang pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pendidikan juga antara fokus utama mereka bagi mendekati para pelajar melalui pelaksanaan kelas tambahan sebagai kepentingan menerapkan khidmat bakti UMNO masih relevan.

“Kita susun program-program untuk generasi muda, pada hari raya adalah sambutan anak muda yang pulang dari perantauan kerana selalu buat program selepas seminggu tetapi kali ini akan buat selepas hari raya kedua untuk meraikan mereka.

“Kedua akan buat pendekatan baharu dengan pelajar sekolah iaitu tingkatan tiga hingga lima, mendekati mereka dengan tusyen dan program supaya mereka melihat UMNO ini relevan untuk mereka memilih kepimpinan UMNO untuk masa akan datang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa UMNO bahagian pada ketika ini juga memberi tumpuan kepada semua lapisan masyarakat dalam melaksanakan bantuan dan aktiviti setempat yang bakal dianjurkan kelak.

“Sebelum ini setiap bulan turun padang cuma kali ubah dengan mendekati kepada semua golongan masyarakat, kerana sebelum ini fokus kepada asnaf, miskin sahaja.

“Golongan berpendapatan sederhana dekati tetapi tidak memberi sumbangan, namun bersama dengan mereka dengan menganjurkan program, mungkin golongan ini berminat dalam masakan, hiasan.

“… kerana sebelum ini terlepas pandang, disebabkan tidak ada pengerusi taman dan selepas ini akan buat satu lantikan untuk senang kita menyusun program untuk mendekati penduduk sekitar,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.