Terdapat Banyak Ruang Tingkat Pelaburan Dan Perdagangan Bersama China – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 4 April – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin bahawa terdapat banyak ruang untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan bersama negara China.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri mesyuarat dua hala bersama Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong.

“Hari ini adalah hari terakhir saya di Hong Kong dan ia merupakan misi perdagangan dan pelaburan yang membuahkan hasil. Pagi tadi, saya telah menghadiri mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat saya, H.E. Algernon Yau, Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong.

“Kami bertukar pandangan dan berkongsi idea tentang kerjasama dalam, antara lainnya, Industri Hijau terutamanya tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy), dan pembangunan projek Metropolis Utara Kawasan Teluk Besar Guangdong–Hong Kong–Macao (Greater Bay Area),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, Malaysia dan MITI akan sentiasa mengamalkan pendekatan ‘win-win situation’ untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi Malaysia dan Hong Kong.

“Ini merupakan sebuah megalopolis yang terdiri daripada sembilan bandar dan dua wilayah pentadbiran khas di bahagian Selatan China. Visinya adalah untuk menjadikan Selatan China sebagai sebuah kawasan ekonomi bersepadu dan pusat Inovasi serta teknologi global menjelang 2035.

“Saya yakin terdapat banyak lagi ruang untuk peningkatan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara. InsyaAllah, Malaysia dan MITI khususnya, akan sentiasa mengamalkan pendekatan menang-menang demi kesejahteraan sosio-ekonomi Malaysia dan Hong Kong,” katanya lagi.

Tengku Zafrul telah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing sejak 30 Mac lalu untuk meneruskan lawatan kerja rasmi di negara tersebut dengan membawa misi bagi menarik pelaburan dan meningkatkan hubungan dagang antara Malaysia-China tercapai.

Setakat ini, antara syarikat yang menyatakan minat mendalam untuk melabur di Malaysia ialah Zhejiang Zhink Group, LONGi, GDS, Shanghai DC Science dan ZTE Corporation, kesemuanya mengakui potensi besar ada di Malaysia.

Pada 2022, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM264.6 bilion (US$59.9 bilion) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer. Daripada jumlah ini, RM55.4 bilion (US$12.5 billion) disumbang oleh China melibatkan sejumlah 91 projek. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.