Pelan Strategik Perangi Masalah Malpemakanan Kanak-kanak Fokus Lima Teras – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 April – Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030 akan memberi fokus kepada antaranya mengukuhkan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pihak berkepentingan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata itu antara lima teras di bawah pelan itu yang dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak yang dipengerusikannya hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bagi memberikan tumpuan terhadap aspek pemakanan seimbang kepada golongan muda dan belia yang akan menjadi pemacu pembangunan negara di masa hadapan.

Kredit gambar: Facebook Zahid Hamidi

“Strategi lain adalah peningkatan kualiti dan akses perkhidmatan pemakanan bagi memerangi masalah beban berganda malpemakanan kanak-kanak, pemantapan persekitaran dan masyarakat yang kondusif dalam meningkatkan kesejahteraan pemakanan kanak-kanak.

“Teras lain adalah memperkasakan pembangunan kapasiti dan modal insan ke arah kesejahteraan pemakanan kanak-kanak serta sinergi advokasi pemakanan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata pelan itu menyasarkan impak kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun melibatkan individu, keluarga dan komuniti termasuk golongan rentan sebagai satu usaha mencegah dan mengawal masalah itu daripada terus meningkat sekali gus mengurangkan beban kerajaan menanggung kos rawatan.

Ia termasuk kempen kesedaran, antaranya di rumah-rumah ibadat dan melibatkan lebih ramai sukarelawan dalam agenda kesihatan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat dua kali setahun bagi memastikan peruntukan yang disalurkan memberi impak positif kepada status pemakanan kanak-kanak (bantut dan obesiti) dan akan menekankan kepada lima perkara.

Perkara tersebut termasuk strategi komunikasi melalui kempen secara besar-besaran serta perubahan pemikiran ke arah pencegahan berbanding rawatan (penyaluran peruntukan perlu tertumpu kepada program dan aktiviti pencegahan berbanding rawatan).

Selain itu jawatankuasa itu juga akan menekankan kepada penglibatan sukarelawan dalam pelaksanaan program dan aktiviti pencegahan malpemakanan, penyediaan menu di taska dan institusi pendidikan kanak-kanak perlu melalui Program Kesihatan Awam serta penglibatan rumah ibadat bagi menjalankan aktiviti peningkatan kesedaran dan pengetahuan masyarakat.

“Saya pasti keberhasilan pelan ini menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk memerangi masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak bagi melahirkan generasi yang sihat serta produktif,” katanya.

Ahmad Zahid berharap semua kementerian dan agensi yang terlibat, termasuk badan bukan kerajaan serta masyarakat untuk terus berganding bahu bagi sama-sama memerangi masalah beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak untuk membina generasi Malaysia yang sihat dan madani.

Beliau berkata perubahan arus globalisasi telah memberi kesan signifikan kepada amalan pemakanan dan mengakibatkan negara berdepan masalah beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, kanak-kanak yang mengalami masalah pemakanan akan membesar menjadi dewasa yang berisiko tinggi menghidapi masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang memerlukan pembiayaan rawatan amat tinggi sepanjang hayat.

Ahmad Zahid berkata hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun mendapati bahawa prevalen bantut meningkat kepada 21.8 peratus pada 2019 berbanding 17.7 peratus pada 2015.

“Data ini dikategorikan sebagai tinggi di bawah indeks Kepentingan Kesihatan Awam dan Malaysia adalah satu-satunya negara ASEAN yang tidak mencapai tahap memuaskan bagi standard tumbesaran mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Selain itu, tinjauan kebarangkalian punca masalah beban berganda malpemakanan mendapati kanak-kanak tidak cukup makan sayur sehari (92 peratus), tidak cukup makan buah sehari (67 peratus) dan tidak makan sarapan (70 peratus) yang meningkatkan potensi masalah kesihatan berkaitan kurang berat badan dan bantut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.