Johor Perlu Pelan Induk Jangka Panjang, Komprehensif Tangani Bencana Iklim – MB

JOHOR BAHRU, 4 April – Johor memerlukan pelan induk jangka panjang yang komprehensif, holistik dan menyeluruh yang diperkasakan oleh inovasi dan reka bentuk berteknologi tinggi untuk melindungi negeri daripada bencana iklim seperti kejadian banjir baru-baru ini, pada masa hadapan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sehubungan itu, ia menuntut usaha berbagai-bagai sektor dan pihak antaranya penggubal dasar, ahli akademik, pemain industri utama dan pembangun teknologi untuk mengatasi cabaran ini bersama-sama.

Kredit gambar: Facebook Onn Hafiz Ghazi

“Satu daripada isu mendesak yang kita (Johor) hadapi ialah banjir, yang pada masa ini menjadi impak iklim yang berulang di negeri ini. Bencana ini, antara lain, adalah kesan buruk perubahan iklim, perancangan bandar dan landskap geografi di beberapa kawasan tertentu yang berada di paras atau di bawah paras laut.

“Banjir baru-baru ini menunjukkan hakikat bahawa jika kita tidak mengatasi perkara ini, ia akan memburukkan keadaan di negeri ini. Bencana iklim ini telah menyebabkan kemusnahan dari segi kewangan mahu pun masyarakat. Kerugian berjuta-juta. Kerajaan tempatan, perniagaan, industri dan yang paling nyata, rakyat menderita,” katanya dalam ucaptama pada Forum “Johor Conversations: A Sustainable Johor Rooted In Resilience” di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar.

Berkaitan jaminan makanan, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata Johor amat komited dalam menerajui sektor berkenaan.

Beliau berkata krisis makanan global ditambah isu domestik baru-baru ini telah menyedarkan kerajaan negeri mengenai kepentingan membangunkan rantaian bekalan makanan berskala besar bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

“Trend pengeluaran makanan yang tidak stabil di negara pengeksport telah mendorong Johor untuk mengambil langkah strategik yang lebih tersusun dalam mewujudkan sistem sara diri bagi pengeluaran makanan yang mampan bagi memastikan jaminan makanan kepada rakyat.

“Meskipun pembangunan mampan, saya yakin ia akan menyokong kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan menarik yang akan terus diperkukuh, sekali gus menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar negeri,” katanya.

Setakat ini, Johor telah menjana pendapatan memberangsangkan selain memperkasakan rakyat dengan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan menerusi berbagai-bagai inisiatif pembangunan jaminan makanan merangkumi aktiviti pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan selain ternakan dan pengeluaran telur.

“Selain itu, kita berbangga melihat pertumbuhan pesat dalam industri makanan asas, perikanan, industri asas tani serta ternakan ruminan dan tenusu.

“Saya harap sesi perbincangan hari ini akan mengenal pasti bidang utama bagi penambahbaikan sekali gus mencari penyelesaian yang mengguna pakai teknologi inovasi selain amalan pertanian mampan. Dalam masa sama, saya berharap akan ada input dan idea baharu dari segi penambahbaikan penggunaan tanah dan bekalan air,” katanya. – BERNAMA

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.