Amanah Perlu Digalas Sebaiknya, Perkasa Agenda Perjuangan UMNO – Sollehin

KUALA LUMPUR, 4 April – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie percaya bahawa pemimpin yang dipilih oleh akar umbi pada Pemilihan UMNO lalu bakal membawa pembaharuan kepada parti keramat ini.

Katanya, ini kerana sebarang jawatan yang diberikan merupakan kepercayaan daripada akar umbi bagi memastikan UMNO berterusan relevan dalam memperkasa agenda parti yang menjadi asas perjuangan sejak penubuhannya.

“Bagi saya setiap kepimpinan yang terpilih akan datang dengan idea-idea tertentu dan akan nampak satu langkah besar untuk perubahan berlaku dalam parti.

“Ketika ini apa sahaja jawatan dalam parti dilihat lebih terbuka (ditandingi) termasuk ahli Majlis Kerja Tertinggi dan sebagainya maknanya semua orang mempunyai idea tertentu dan mereka cuba untuk membawanya ke dalam parti.

“Saya boleh katakan siapa sahaja yang memegang tampuk kepimpinan bahagian ataupun pusat tidak boleh berasa selesa namun perlu buat kerja untuk membuktikan mereka berhak untuk memegang jawatan itu dan bagi saya itu perkara yang sangat baik,” katanya kepada UMNO Online.

Mohammad Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia pada masa sama berkata, proses demokrasi ini membuka peluang kepada pemimpin muda untuk bersama-sama dengan kepimpinan berpengalaman.

Jelas beliau perkara tersebut dirai dan dimanfaatkan sebaiknya terutama bagi parti untuk bergerak ke hadapan menuju ke pilihan raya akan datang.

“Proses pemilihan parti menunjukkan keterbukaan daripada aspek ketertiban demokrasi dan bagi saya ia peluang yang baik kerana banyak muka-muka baharu ditampilkan terutama di peringkat kepimpinan sama ada bahagian, Wanita atau sayap-sayap.

“Boleh dikatakan bahawasanya gabungan orang lama dan baharu ini benda yang baik sebab kita dapat lihat pengalaman bercampur dengan idea-idea yang bagi saya lebih segar dan harus diharmonikan supaya ianya mampu menjadi naratif yang baik untuk parti ini bergerak.

“Bagi saya UMNO dilihat kini lebih segar dengan keterbukaan melihat peluang kepada muka-muka baharu yang turut memberi saingan walaupun ada juga yang tewas dan menang namun sekurang-kurangnya menunjukkan UMNO ini terbuka dan tidak menghalang apa juga idealisme yang masuk,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mohammad Sollehin yang juga bekas ketua pemuda bahagian pada Pemilihan minggu lalu memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan di peringkat pusat sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Beliau kemudiannya turut sama dilantik sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.