Stesen Minyak Tanpa Subsidi Diperluas Di Kawasan Sempadan Negara Secara Berfasa

PUTRAJAYA, 3 April – Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini bersetuju dengan perluasan stesen minyak tanpa subsidi secara berfasa di kawasan sempadan negara bagi menangani ketirisan diesel bersubsidi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu memaklumkan lokasi stesen minyak tanpa subsidi itu dicadangkan di Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli) di Kelantan serta Tebedu, Ba’Kalan dan Lundu (Sarawak).

Beliau berkata lokasi stesen minyak terbabit juga dicadangkan di Pengkalan Hulu (Perak), Tambak Johor dan Second Link (Johor), Padang Besar dan Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah).

Katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menguatkuasakan OPS TIRIS selama enam bulan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini bagi membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Ahmad Zahid berkata setakat 31 Mac lepas, sebanyak 3,424 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara yang melibatkan 92 kes dengan jumlah 88 tangkapan dan nilai rampasan RM3.02 juta membabitkan 41 kes serahan menerusi OPS TIRIS itu.

“Penyelewengan minyak diesel bersubsidi menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengakibatkan bekalan diesel tidak sampai kepada yang layak,” katanya.

Beliau juga berkata inisiatif Rahmah, yang bermula dengan Menu Rahmah, kini diperluas dan dikembangkan kepada barangan seperti tekstil serta perkhidmatan seperti insurans.

KPDN memperkenal Program Payung Rahmah bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan) dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan makanan serta barangan keperluan asas.

Ahmad Zahid berkata setakat 1 April lepas, terdapat sejumlah 1,706 pengusaha restoran dan kedai makan di seluruh negara yang melaksanakan program Menu Rahmah manakala Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi menawarkan menu berbuka puasa pada harga Menu Rahmah.

Beliau berkata mesyuarat itu juga bersetuju agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneliti cadangan menaik taraf Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai Agensi Sekuriti Makanan.

“KPKM juga akan mendayaupayakan FAMA dalam meluaskan jaringan pemasaran dengan menumpukan kepada kawasan berkepadatan tinggi dan kawasan luar bandar yang kurang akses kepada khidmat peruncitan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.