Perlu Rasional Dalam Politik, Jangan Manipulasi Agama Untuk Kepentingan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Parti pembangkang digesa agar bersikap rasional dan tidak memanipulasikan agama untuk kepentingan politik mereka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ada pihak yang menggunakan istilah ‘sedekah’ untuk memenangi hati pengundi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, memperlihatkan mereka tidak rasional dalam berpolitik.

“Walaupun wang diberikan itu tidak dianggap termasuk dalam hukum hudud, maka saya ingin menyeru pemimpin tersebut supaya jangan main dengan fatwa, al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

“Berada di gelanggang politik mesti dengan rasional, bukan bermain agama dan manipulasi fatwa-fatwa untuk kepentingan sendiri.

“Manipulasi dan tactical move yang dilakukan menyebabkan Allah memberikan pengajaran kepada mereka. Biarpun jumlah kerusi mereka lebih besar daripada kita peroleh, yang kecil jadi kerajaan, yang lebih jadi pembangkang. Itu hukuman Allah. Terimalah,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid tidak mahu menamakan parti-parti yang disebutkan sebaliknya mengakui bahawa kebenaran akan terserlah apabila disulami dengan ketabahan dan kesabaran.

“Saya tidak mahu menamakan mana-mana parti atau individu di sini, tetapi saya cuma ingin mengingatkan diri sendiri bahawa kita pernah ditindas, dihina dan macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kita.

“Tetapi atas kesabaran dan ketabahan, kebenaran akhirnya terserlah,” ujarnya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15  lalu, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PPBM dan Pas memperoleh 82 kerusi manakala UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya berjaya memperoleh 30 kerusi.

Satu lagi blok politik Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi parlimen.

Memandangkan tiada blok mempunyai majoriti yang jelas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kemudiannya bertitah supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Ianya menyaksikan PH kemudian membentuk pentadbiran persekutuan bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain manakala PN enggan berbuat demikian. – UMNO Online

Oleh: Faizal Salleh

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.