Ihsan Ramadan Diteruskan, Mohamad Turun Padang Sampaikan Bantuan

KUALA LUMPUR, 3 April – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan politik khidmat bakti apabila turun padang ke kawasan bertemu rakyat sempena Ramadan.

Beliau berbesar hati ke Rantau bagi meninjau penduduk setempat di samping bertanya khabar dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Penyampaian sumbangan bakul Ramadan hari kedua diteruskan di sekitar kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Alhamdulillah diberi keizinan berkongsi rezeki. Semoga Ramadan lebih bermakna buat mereka semua, insya-Allah,” kongsi Mohamad yang juga Menteri Pertahanan di Facebook.

Menerusi hantaran berbeza beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memaklumkan berkunjung ke Kampung Ulu Lalang, Kampung Solok, Taman Bandar Ekar dan Taman Angsamas.

Mohamad mengambil kesempatan itu dengan menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

Beliau pada masa sama turut meluahkan penghargaan kepada pihak yang membantu dalam menguruskan pek-pek sumbangan tersebut.

“Alhamdulillah terima kasih banyak-banyak kepada semua yang datang membantu untuk persiapan program sumbangan esok. Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT insya-Allah,” ujar beliau.

Menerusi hantaran terdahulu beliau juga ke kawasan DUN Paroi dan berkesempatan berbuka puasa bersama penduduk setempat di Masjid Senawang Jaya.

“Bersama penduduk Taman Senawang Jaya dimajlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan di masjid.

“Terima kasih rakan-rakan jawatankuasa bahagian dari DUN Paroi yang menjadi tuan rumah majlis yang berlangsung dengan sempurna,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.