Exco Melaka Perlu Gambarkan Komposisi Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 1 April – Barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang akan dilantik perlu menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu berkata perbincangan akan diadakan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

“Saya berhasrat agar barisan Exco mengandungi komposisi Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun di Melaka BN dan UMNO menguasai kerajaan negeri, alangkah baiknya Exco Kerajaan Negeri Melaka menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang dipilih oleh rakyat dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita pada majlis Tadarus Al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1444H Peringkat Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kestabilan politik di Melaka itu akan membantu kemenangan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di enam negeri.

Semalam, Rauf yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 berkata beliau akan mengumumkan barisan Exco yang baharu dalam tempoh 48 jam.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk merasmikan program Gerak Rahmah 2023: Jom Masak Bubur Lambuk Peringkat Negeri Perak di Taman Perumahan Awam Hutan Melintang di sini.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu dijalankan serentak di seluruh negara hari ini.

Di Perak, hampir 300 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menyertai program itu dengan 14 daripadanya KRT di Parlimen Bagan Datuk. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.