Kes Najib: SUA Harap Lembaga Pengampunan Ambil Kira Hujah Hakim Besar Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar Lembaga Pengampunan mengambil kira penghujahan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli dalam semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Asyraf Wajdi turut memuji Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli kerana berani berkata benar semasa berhujah.

“Diharapkan Lembaga Pengampunan kelak akan mengambil kira penghujahan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli yang juga merupakan hakim paling senior dikalangan lima hakim terlibat dalam semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau juga yang mempengerusikan panel lima hakim tersebut. Antara hujah beliau yang begitu kuat dan membekas:

‘Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali.’ – Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli

Syabas Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman kerana berani berkata benar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan dan kesihatan kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menghadapi ujian yang getir ini.

“Moga Allah memberikan kekuatan dan kesihatan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadapi ujian besar ini.

“Insya-Allah kebenaran dan keadilan pasti akan tertegak jua,” katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.