Dasar Tahfiz Negara 2.0: Ahmad Zahid Komited Mahu Lahirkan Hufaz Profesional

KUALA NERUS, 29 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi komited agar Dasar Tahfiz Negara 2.0 dapat melahirkan seramai 125,000 hufaz profesional pada tahun 2050 kelak.

Menurutnya, selain mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran, mereka ini juga berkelulusan profesional dan ia merupakan hasrat beliau ketika pernah menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sebelum ini.


“Hasrat kita insyaAllah pada tahun 2050 nanti akan terdapat seramai 125,000 hufaz profesional di mana para hufaz ini mempunyai kelulusan profesional. Ini telah saya lakukan ketika saya diamanahkan di Jabatan Perdana Menteri dalam menangani hal ehwal agama.

“Terbukti apabila ada kombinasi di antara ilmu duniawi dan ukhrawi ini ia akan dapat memperimbangkan bukan sahaja soal ilmu tetapi amali,” katanya ketika berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan di perkarangan Masjid Al-Ansar Kem Sri Pantai di sini, petang Selasa.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ia juga bertujuan untuk mewujudkan generasi baharu terutamanya kalangan anak-anak prasekolah supaya menjadi insanul kamil dari peringkat awal lagi.

“…dengan tidak melupakan kelulusan akademik yang penting umpamanya KEMAS melalui tabika dan tadika. Mulai tahun ini kita akan melakukan satu perubahan ‘game changer’ dengan memperkenalkan soal pendidikan al-Quran dan ibadah kepada anak-anak awal usia ini.

“Ini kita lakukan untuk 10,843 tabika dan tadika KEMAS di seluruh negara. Ini bagi memperlihatkan bahawa kursus-kursus kenegaraan, kurikulum rukunegara dan sukatan yang sedia ada ini dikekalkan namun kita mahu letakkan asas-asas kerohanian ini daripada awal usia kanak-kanak.

“Dan kita menggunakan pendekatan melalui tabika dan tadika KEMAS ini kerana di peringkat awal usia mudah untuk dibentuk,” katanya.

Begitu juga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ujarnya, akan menggunakan pendekatan ulul albab di dalam pengajian di semua MRSM tanpa mengenepikan asas-asas profesional dan akademik yang ada.

“Tujuannya, bukan sekadar memperimbangkan ilmu duniawi dan ukhrawi tetapi untuk menyuntik keimanan di awal usia dan di peringkat seterusnya.

“Kita mahu ia dilakukan tanpa mengira warna-warna yang berbeda dan kita harap apa yang kita lakukan ini tidak kena mengena dengan soal politik. Ia adalah sebagai salah satu cabang ibadah yang kita lakukan,” katanya.

Majlis Santunan Kasih Ramadan di Terengganu ini merupakan lokasi keempat daripada 13 negeri, bermula di Selangor pada 24 Mac lalu yang dihadiri hampir 2,000 orang rakyat sekitar yang terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada pusat-pusat anak yatim berjumlah RM21,000 berserta duit, baju dan hamper raya kepada anak-anak yatim.

Selain itu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick Win’ KEMAS untuk bidang jahitan, masakan, seni tangan dan dandanan diri kepada 60 penerima dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM210,000.

Bantuan yang diberikan kepada golongan belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal yang tergolong dalam kategori B40 luar bandar itu bagi menjana pendapatan penduduk setempat pada musim perayaan ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.